kelopak bunga

Wednesday, 22 February 2012

7 Petua Mudah Ingat Apa Yang Dipelajari




  • Tumpukan sepenuh perhatian terhadap apa yang anda ingin ingat.  
  
  • Berfikir dan mengingat dengan cara bergambar.
  • Anda perlu ulang dan latih semula apa yang anda ingin ingatkan.
  • Menjaga masa tidur anda dengan sebaik mungkin.
  • Anda perlu mempraktikkan apa yang anda pelajari dengan serta-merta.
  • Biasakan diri anda menulis apa yang didengar.
  • Mengaitkan sesuatu yang dipelajari dengan pengetahuan sedia ada.
SELAMAT MENCUBA !!!

Thursday, 16 February 2012

Sajak Ibu

Jom kita hayati sama-sama sajak di bawah ini.

Sinaran Kasih Ibu

Ibu
Bagiku dirimu tiada dalang gantinya
Kerna kucintai ibu selalu
Ibu yang selalu menjaga diriku
Dan membelaiku penuh kasih sayang
Bagai membelai sekuntum mawar merah

Ibu
Demi anakmu
Dirimu sanggup kau korbankan
Sedangkan dirimu telah terkorban
Dirimu memberikanku segalanya
Walaupun dirimu tak punya apa-apa
Ampunilah dosaku ibu
Kiranya menyakiti hatimu

Ibu
Sedari kecil aku selalu disampingmu
Dikau menjagaku
Mendidikku
Dan beri segalanya buat keperluanku
Tanpa menerbitkan rasa jemu dihati

Ibu
Dikaulah insan teladan
Kerna kesabaranmu yang menebal didalam hati
Menjaga anak-anakmu yang berbagai ragam
Melayan kenakalan mereka
Yang sering menyakiti hatimu

Ibu
Dikaulah ratu dihatiku
Yang kuingat selalu
Tanpa kasih sayangmu
Tidaklah kumengenali siapa diriku
Bagiku dirimu selalu ada disampingku
Walaupun dirimu telah lama pergi

Ibu
Hanya doa yang mampu kukirimkan
Buat dirimu
Kasihku takkan putus terhadapmu selamanya
I love you ibu
Itulah kata yang teragung
Dariku buat dirimu
Terima kasih ibu

 TIADA BANTAL YANG LEBIH LEMBUT MELAINKAN RIBAAN IBU SENDIRI


Saturday, 11 February 2012

Sekilas Pandang


Orang yang cekal dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi, tidak pernah merasa terancam dengan perkataan atau perbuatan yang remeh dan tidak disengajakan. Sebaliknya mereka akan menumpukan perhatian ke arah mencapai matlamatnya


KONSEP-KONSEP UMUM DALAM TATABAHASA


1. Simpulan bahasa


Ungkapan yg terdiri drpd dua perkataan atau lebih dan mempunyai makna yg berlainan drpd erti perkataan-perkataan yg membentuknya (seperti kaki ayam dan lain-lain)

(kamus dewan edisi keempat)

Contoh :

Simpulan Bahasa bermula dari huruf 'A'


1. Abang Angkat
Maksud: Lelaki yang telah di akui sebagai abang, tetapi tidak mempunyai pertalian darah dengan orang yang mengakuinya.
Contoh Ayat: Hamidah mempunyai seorang abang angkat bernama Hamzah.

2. Abang Ipar
Maksud: Suami kepada kakak sendiri; abang kepada isteri atau suami.
Contoh Ayat: Hafiz ialah abang ipar Umar.

3. Abang Kandung
Maksud: Abang yang seibu sebapa.
Contoh Ayat: Liza tinggal bersama abang kandungnya setelah kedua-dua ibu bapa mereka meninggal dunia.

4. Abu Angin
Maksud: Telah musnah sama sekali.
ContohAyat: Kota yang melambangkan ketamadunan bangsa itu telah menjadi abu angin kerana diserang oleh tentera Tatar.

5. Abu Jahal
Maksud: Orang yang jahat dan tidak suka akan kebaikan.
Contoh Ayat: Abu Jahal kampung ini telah diberkas polis awal pagi tadi kerana disyaki terlibat dalam beberapa kes rompakan.

6. Abu Lahab
Maksud: Orang yang jahat dan tidak suka akan kebaikan.

7. Abu Nawas
Maksud: Orang yang suka berhelah.
Contoh Ayat: Kami memanggilnya Abu Nawas kerana dia pandai berhelah apabila ditanya tentang sesuatu.

8. Ada Akal
Maksud: Cara menyelesaikan sesuatu masalah.
Contoh Ayat: Syeila ada akal untuk menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi oleh ayahnya.

9. Ada Angin
Maksud: Orang yang berperangai luar biasa pada masa tertentu.
Contoh Ayat: Alin ada angin, ada kalanya dia peramah dan ada kalanya pula dia marah-marah.

10. Ada Bakat
Maksud: Berkebolehan dalam sesuatu lapangan seperti melukis, mengarang dan sebagainya.
Contoh Ayat: Izzah ada bakat menjadi penulis novel.


Simpulan Bahasa bermula dari huruf 'B'


1. Babi Buta = Membabi Buta
Maksud: Berbuat sesuatu tanpa banyak berfikir.
Contoh Ayat: Serangan yang membabi buta itu telah menyebabkan ramai orang awam terkorban.

2. Bahasa Ibunda
Maksud: Bahasa yang dituturkan oleh sesuatu kaum.
Contoh Ayat: Bahasa ibunda Mei Lin ialah bahasa Mandarin.

3. Bahasa Kasar = Berbahasa Kasar
Maksud: Bahasa yang tidak sopan untuk digunakan.
Contoh Ayat: Ratna mengeluarkan bahasa kasar semasa bergaduh dengan kakaknya.

4. Bahasa Pasar
Maksud: Bahasa Melayu yang tidak betul tatabahasanya.
Contoh Ayat: Jangan menggunakan bahasa pasar apabila membuat karangan.

5. Baik Budi
Maksud: Baik hati.
Contoh Ayat: Hafiz seorang pemuda yang baik budi dan menghormati orang tua.

6. Baik Hati
Maksud: Bersikap baik dan penyayang (suka menolong).
Contoh Ayat: Nenek memang baik hati. Dia sering menghulurkan derma kepada rumah anak-anak yatim.

7. Baik Sangka
Maksud: Berpendapat yang orang lain baik.
Contoh Ayat: Kita hendaklah sentiasa bersikap baik sangka terhadap semua orang.

8. Balas Budi = Membalas Budi
Maksud: Balas jasa dan berterima kasih.
Contoh Ayat: Jiman menyara kos perubatan ibu angkatnya sebagai membalas budi keluarga angkatnya itu.

9. Balas Guna
Maksud: Balas jasa dan berterima kasih.

10. Balik Gagang = Berbalik Gagang
Maksud: Berpihak kepada musuh.
Contoh Ayat: Akibat rasa tidak puas hati terhadap ketuanya, Ahmad telah berbalik gagang dengan membocorkan rahsia syarikatnya.


2. Peribahasa

Bidalan, pepatah, ayat atau kelompok kata yg tetap susunannya dan mempunyai maksud tertentu. 
(Kamus Pelajar Edisi Kedua)

Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air
Maksud: Segala-gala yang dikehendaki sudah diperoleh.

Yang lama dikelek, yang baharu didukung
Maksud : Adat yang lama tetap diamalkan di samping budaya hidup yang baharu.

Seperti lembu dicucuk hidung
Maksud : Orang yang selalu menurut kemahuan orang

Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas
Maksud : Adat yang tidak berubah; sesuatu yang tetap utuh.

Bagai kaca terhempas ke batu
Maksud : Sangat sedih atau kecewa.

Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat
Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.

Bagai Aur Dengan Tebing
Maksud : Hubungan yang rapat antara sama sama yang lain dan saling membantu.

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
Maksud : mengalami susah senang bersama-sama.

Bara yang digenggam biar sampai jadi arang
Maksud : Mengerjakan sesuatu yang sukar hendaklah sabar, sehingga mencapai kejayaan.

Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri
Maksud : Walau bagaimanapun kelebihan di negara orang, tetap negeri sendiri lebih baik lagi.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya
Maksud : Mendidik anak biarlah sejak mereka kecil lagi.

Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi
Maksud : Dua orang atau pihak yang sama darjat dalam adat

Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing
Maksud : Bersama-sama menghadapi atau mengerjakan sesuatu.

Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai
Maksud : Kalau takut berhadapan dengan penderitaan , lebih baik jangan melakukan sesuatu yang susah

P/S : Ini adalah beberapa contoh simpulan bahasa dan peribahasa yang dapat dipaparkan. Jika anda ingin mencari lebih banyak lagi contoh simpulan bahasa dan peribahasa tersebut, silalah lawat laman web ini


http://www.ipuisi.com/koleksi-peribahasa-melayu-simpulan-bahasa-dan-maksud


http://www.skkionsom.edu.my/v1/simpulan-bahasa.html




Friday, 10 February 2012

Yang Baik Dijadikan Teladan

Jom baca dan fahami betul-betul pengajaran yang ingin disampaikan dalam cerita di bawah ini !!!


MONYET YANG PINTAR

Binatang-binatang kecil di hutan tidak senang hati dengan kedatangan singa di tempat mereka. Singa itu mengaku dirinya raja walaupun sebenarnya dia bukan raja di hutan itu. Singa itu sangat ganas. Binatang-binatang yang lemah sering menjadi mangsanya. Oleh itu, binatang-binatang di hutan tersebut mencari jalan untuk menghapuskan singa itu.


"Biar saya yang pergi berjumpa dengan singa itu. Saya akan merayu kepadanya agar tidak menangkap haiwan di hutan ini lagi," kata kambing tua kepada kawan-kawannya. Dia sanggup berkorban nyawa demi keselamatan rakan-rakannya itu.


Semasa pertemuan dengan kambing, singa itu berkata dengan angkuhnya.
"Kalau kamu tidak mahu aku menangkap binatang di hutan ini lagi, kamu hendaklah mempersembahkan makanan kepada aku setiap hari." Terdiam semua binatang apabila kehendak singa itu disampaikan oleh kambing tua kepada mereka.

Naik darah kijang mendengar kata-kata singa itu. Dia berfikir sejenak lalu berkata dengan marah.
"Jangan beri muka kepada singa yang kejam itu. Ada hati dia mahu makan kita. Kita mesti membunuhnya sebelum kita menjadi mangsa seterusnya."


"Tapi bagaimana, kijang?"
sampuk arnab yang hanya berdiam diri sejak tadi.


"Kita masih ada jalan. Biar saya yang menjadi mangsanya yang pertama," kata monyet dengan berapi-api.


Esoknya, monyet pergi menyerah diri kepada singa itu.
"Mengapa lambat, ha? Engkau tahu tak, aku lapar?" herdik singa. 

"Ma....ma...maafkan patik tuanku, semasa dalam perjalanan ke sini, patik telah ditangkap oleh seekor singa yang mengaku dirinya raja,"
sembah monyet pura-pura ketakutan.

"Apa? Raja? Hanya aku raja di hutan ini! Tunjukkan kepadaku tempat si bedebah itu. Biar aku tamatkan riwayatnya!" kata singa dengan bengis. Panas hati singa mendengar penjelasan monyet.

Monyet pun membawa singa ke sebuah perigi. Apbila tiba di tepi perigi tersebut, monyet pun berkata, "Itu dia singa yang mengaku dirinya raja, tuanku," monyet menunjukkan bayang-bayang singa di dalam perigi itu. Tanpa membuang masa, singa itu pun terjun ke dalam perigi tersebut untuk membunuh Sang Singa yang dilihatnya itu. Monyet riang kerana rancangannya berjaya.

Semenjak hari itu, binatang-binatang di hutan tersebut hidup dengan aman dan bahagia.






BMM 3105

Kursus ini menjelaskan penggunaan Internet, pemilihan bahan Internet, laman web, dan papak pembelajaran, perpautan dalam penyusunan bahan, perpautan antara bahan, pengeditan bahan pengajaran secara online; penggunaan bahasa Melayu dalam bahan Internet, simulasi pengajaran bahasa Melayu secara sidang video, penggunaan alat pengarangan, animasi dalam persembahan bahan; dan penggunaan CD pembelajaran dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.

(daripada Pro Forma BMM3105)

Pengajaran-Pembelajaran Bantuan Komputer adalah salah satu cara pemindahan pengetahuan atau maklumat yang semakin popular dikalangan para pendidik. Siti Fatimah (2001) mendefinasikan Pengajaran-Pembelajaran Bantuan Komputer atau PPBK sebagai perisian pendidikan dan latihan yang dibangunkan menggunakan bahasa pengaturcaraan (programming language), pengarangan dan pengaturcaraan multimedia (multimedia authoring and programming) untuk mengajar dan belajar sesuatu objek.. Alensi dan Trollip (1985) juga mengaitkan PPBK dengan penggunaan komputer untuk menyampaikan maklumat, melatih dan menilai prestasi pelajar. Kesimpulannya, PPBK ialah perisian yang bercirikan pendidikan yang mempunyai unsur-unsur multimedia interaktif. Unsur-unsur tersebut seperti teks, bunyi dan gambar bertujuan untuk membolehkan pengguna berinteraksi dengan komputer serta menerima maklumbalas darinya. Apabila cara pendidikan yang konvensional diganti dengan cara yang lebih moden, seperti PPBK ini, semestinya ia haruslah dapat memberikan suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih menggalakkan dan produktif.



Wednesday, 8 February 2012

Salam pendahuluan....

Assalamualaikum w.b.t....salam perkenalan buat anda di luar sana.

Buat pengetahuan saudara saudari sekalian, blog ini baru sahaja dibina pd 8 Februari 2012. Tujuan utama pembinaan blog ini sebenarnya untuk memenuhi salah satu tugasan yang perlu dilakukan oleh setiap pelajar di IPG yang mengambil subjek BMM3105. 

Segala maklumat yang berkaitan dgn subjek tersebut ataupun bahan-bahan ilmu lain, akan dikemaskinikan dari semasa ke semasa dalam blog ini. Mohon maaf jika terdapat sebarang kesilapan yg dikesan sepanjang anda membaca coretan mahupun hasil kerja sy di sini. Maklumlah, insan baru belajar kn,,huhu

Walau bagaimanapun, anda harus ingat kata-kata hikmah ini :

 SECEBIS ILMU DIKONGSI, SEMANIS KEJAYAAN SAMA DIKECAPI

Selamat membaca.............

(x tahu nk tulis apa dah,,,hehe)